Searching...

Rahsia Disebalik Alam Rahim yang Kita Tidak Pernah Ambil Tahu Akan Kewujudannya

Alam Rahim merupakan alam yang kedua selepas kita menempuh alam roh. Masih ramai dalam kalangan kita yang tidak pernah ambil tahu akan kewujudan alam rahim. Oleh itu, rahsia disebaliknya akan didedahkan untuk kita menginsafi asal-usul kejadian diri kita dengan mengimbau kembali saat-saat kita dibesarkan di dalam alam rahim sebelum kita menempuh ke alam dunia. Oleh itu, sama-sama kita hayati dan ambil pengajaran melaluinya untuk kesedaran kita semua. 

Sebelum dilahirkan ke alam dunia, manusia terlebih dahulu ditransitkan ke alam rahim. Alam rahim terletak dalam perut ibu. Begitu indah sekali namanya, "rahim" yang diambil dari 99 nama Allah yakni Ar-Rahim yang bermaksud Yang Maha Penyayang. Sekaligus melambangkan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya, yang mana kalau dilihat pada hakikatnya berasal daripada kasih sayang Allah terhadap hamba-Nya. Di dalam rahim jugalah janin dilindungi untuk menjadi seorang bayi.

Bayi akan tinggal di alam yang kukuh dan penuh dengan kasih sayang selama lebih kurang 9 bulan 10 hari (mengikut kebiasaannya). Dalam tempoh yang begitu singkat itu, ada beberapa proses biologi dan rohani yang sedang berlaku. Daripada sari pati tanah, menjadi nutfah (air benih), kemudian menjadi alaqah (sebuku darah beku) dan diikuti dengan pembentukan mudghah (seketul daging). Kemudian pembentukan tulang pula dan selepas itu, tulang mula dibungkus dengan daging. Akhirnya terbentuklah seorang bayi manusia yang lengkap sifatnya.

Berdasarkan Firman Allah S.W.T:

ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَاماً فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْماً ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقاً آخَرَ 

فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Maksudnya: "Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta." [Surah Al-Mu'minun ayat 14].

Di dalam alam rahim ada beberapa perkara telah ditentukan. Antaranya rezeki, amalan, ajal dan nasib (kebahagiaan atau kecelakaan). Hadis dari Abdullah Bin Mas'ud r.a berkata melalui terjemahan:

Rasulullah S.A.W bersabda kepada kami, sedangkan Baginda seorang yang benar serta boleh dipercayai: "Kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama empat puluh hari. Sebaik sahaja genap empat puluh hari, kali kedua terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap empat puluh hari, kali ketiga bertukar menjadi seketul daging. Kemudian Allah S.W.T mengutuskan malaikat untuk meniupkan roh serta memerintahkan supaya menulis empat perkara iaitu ditentukan amalannya, tempoh kematian, rezeki serta nasibnya sama ada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan. Maha suci Allah S.W.T di mana tiada Tuhan selain-Nya. Seandainya seseorang itu melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni neraka sehinggalah kehidupannya hanya tinggal sehasta dari tempoh kematiannya, tetapi disebabkan ketentuan takdir nescaya dia akan bertukar dengan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni syurga sehingga dia memasukinya. Begitu juga dengan mereka yang melakukan amalan ahli syurga, tetapi disebabkan oleh ketentuan takdir nescaya dia akan bertukar dengan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni neraka sehinggalah dia memasukinya." [Hadis Riwayat Muslim, Al-Jami' Al-Sahih, jil. 8, halaman 44, no. 6893].

Tegasnya, segala persediaan dan kelengkapan untuk menuju ke alam dunia telah dipersiapkan di sini (alam rahim). Jasadnya mula dilengkapi dengan komponen pancaindera (pendengaran, penglihatan, sentuhan, rasa dan lain-lain). Sebagaimana penyelam yang perlu memakai pakaian khas untuk pergi menyelam yakni lengkap dengan bekalan oksigennya, maka begitulah manusia yang berpindah ke alam dunia. Pakaian khasnya ialah jasad dan kelengkapannya pula ialah pancaindera. Wallahua'lam.

Memuat...
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 Orang Komen Membina:

Catat Ulasan

 

Jumlah Pelawat

Copyright © 2013. Nukeufo89's Blog - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger