Searching...

Rahsia Keimanan Kepada Hari Akhirat yang Perlu Diketahui Semasa Di Dunia

Keyakinan kepada kehidupan di akhirat inilah merupakan rahsia keimanan yang menyebabkan kita tidak mudah kecewa atau putus asa untuk terus melakukan kebaikan di dunia walaupun kita tidak mendapat apa-apa ganjaran sekalipun. Meskipun semasa di dunia, kita tidak mendapat apa-apa balasan, sanjungan atau penghargaan setelah melakukan sesuatu kebaikan (malah mendapat cercaan dan penghinaan pula), namun kita tetap terus melakukannya juga dengan penuh keyakinan bahawa adanya kepastian di akhirat kelak kita akan mendapat balasan yang cukup setimpal dengan perbuatan kita semasa di dunia dahulu.

"Jika manusia tidak menghargainya, tidak mengapa, kerana Allah S.W.T pasti akan membalasnya. Tentunya, balasan daripada Allah S.W.T adalah sudah pasti lebih baik dan kekal."

  • Itulah sense of the end yakni rasa adanya kehidupan di akhirat yang mana menjadi kunci kepada manusia untuk membuat kebaikan. Ia sebenarnya merupakan faktor yang paling kuat untuk mendorong manusia melakukan kebaikan dan menghalang manusia daripada melakukan kejahatan.
  • Itulah juga tawhidic mind set yakni pemikiran berasaskan tauhid yang mana menjadi pertimbangan untuk seseorang melakukan kebaikan. Oleh sebab itulah, dapat kita lihat kedua-dua faktor yakni percaya kepada Allah S.W.T dan hari akhirat itulah menjadi permulaan hadis yang mendorong umat Islam untuk melakukan kebaikan.

Misalnya, hadis berikut:

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

"Sesiapa yang percaya kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia tidak menyakiti jirannya. Sesiapa yang percaya kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya. Sesiapa yang percaya kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik ataupun diam." (Riwayat al-Bukhari, al-Jami' al-Sahih, maktabah Salafiah, 1400H, no. 6136).

Dan keyakinan itu jugalah yang menyebabkan kita takut untuk melakukan kejahatan. Walaupun mungkin kita ada cara untuk melepaskan diri daripada hukuman di dunia, namun kita tetap takut kerana kita yakin dan pasti bahawa kita tidak akan dapat melepaskan diri daripada hukuman Allah S.W.T di akhirat.

"Hakim, mahkamah, polis dan penguat kuasa dunia boleh dilobi, ditipu atau dirasuah. Akan tetapi, mana mungkin kita boleh menipu, melobi atau merasuah malaikat Raqib, Atid, Ridhwan dan Malik?"

Sebab itu ingin saya tegaskan bahawa, keyakinan kita terhadap kehidupan di akhirat kelak sangat penting semasa kita hidup di dunia lagi. Ini boleh menyebabkan kita dapat menikmati kehidupan yang aman dan harmoni. Jika tidak, keharmonian hidup akan menjadi terlalu rapuh. Cuba buat perbandingan, selama ini kita bergantung kepada pengawasan yang bersifat luaran (yang boleh nampak) seperti takut untuk mencuri kerana ada CCTV, datang awal ke pejabat kerana ada punch card, tidak membuang sampah merata-rata kerana akan didenda dan tidak membawa kereta melebihi had laju takut kena tangkap gambar dengan kamera AES.

Sungguhpun begitu, ini tidaklah bermakna kita tidak perlukan undang-undang. Tetapi kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada pengawasan bersifat luaran sahaja untuk mengawal tingkah laku manusia. Manusia kini menjadi semakin bijak untuk dikawal oleh undang-undang luaran. Sebab itu kerap berlaku undang-undang terpaksa dipinda, diperbaharui dan ada yang dimansuhkan untuk menangani situasi seperti kemelut politik, ketidakadilan sistem perundangan terhadap masyarakat dan kejahatan manusia yang semakin licik, canggih dengan teknologi terkini dan terlalu kompleks dengan perancangan konspirasi. 

P/S: Manusia tidak akan mampu mengawal manusia! Manusia hanya boleh dikawal oleh Sang Penciptanya (Allah S.W.T). Wallahua'lam.

Memuat...
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 Orang Komen Membina:

Catat Ulasan

 

Jumlah Pelawat

Copyright © 2013. Nukeufo89's Blog - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger