Searching...

Kepentingan Besi Dalam Kehidupan Manusia Telah Dijumpai Di Dalam Al-Qur'an

Ada satu surah dalam Al-Qur'an yang mempamirkan nama logam, iaitu Surah Al-Hadid yang bermaksud "besi". Itulah sebabnya tepat sekali masjid di kompleks Krakatau Steel di Cilegon bernama Masjid Al-Hadid. Siapakah di antara kita yang tidak mengenal besi? Logam yang paling popular, dengan nama Latinnya "ferrum" dan lambang unsur kimianya "Fe".

Firman Allah S.W.T:

لَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلَنَا بِالْبَيِّنَاتِ وَأَنزَلْنَا مَعَهُمُ

 الْكِتَابَ وَالْمِيزَانَ لِيَقُومَ النَّاسُ بِالْقِسْطِ وَأَنزَلْنَا 

الْحَدِيدَ فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَلِيَعْلَمَ اللَّهُ مَن يَنصُرُهُ وَرُسُلَهُ بِالْغَيْبِ إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ عَزِيزٌ

Maksudnya: "Demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti dan mukjizat yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka Kitab Suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan, supaya manusia dapat menjalankan keadilan dan kami telah menciptakan besi dengan keadaannya mengandungi kekuatan yang handal serta berbagai faedah lagi bagi manusia. (Dijadikan besi dengan keadaan yang demikian, supaya manusia menggunakan faedah-faedah itu dalam kehidupan mereka sehari-hari) dan supaya ternyata pengetahuan Allah tentang orang yang (menggunakan kekuatan handalnya itu untuk) menegak dan mempertahankan ugama Allah serta menolong Rasul-rasulNya, padahal balasan baiknya tidak kelihatan (kepadanya); sesungguhnya Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa." (Surah Al-Hadid ayat 25).


Dalam Surah Al-Hadid ayat 25 di atas, Allah berfirman:

"wa anzalnaal-hadiid."  وَأَنزَلْنَا الْحَدِيدَ

Meskipun perkataan "anzal" sangat ketara maksudnya, iaitu "menurunkan," banyak pentafsir Al-Qur'an yang ragu-ragu menterjemahkan perkataan "anzal" dalam ayat ini. Sebab, yang banyak dijelaskan oleh Allah S.W.T dalam Al-Qur'an dengan memakai perkataan "anzal" biasanya "air" (anzalnaal-maa') atau "kitab" (anzalnaal-kitaab). Jadi, sekarang ini perkataan besi pula. Kalau diterjemahkan; "Dan Kami menurunkan besi," tentu harus diperjelaskan bagaimana peristiwa "turunnya" besi itu. Bukankah besi itu hasil pengolahan bijih besi dari dalam tanah, bukannya jatuh dari atas langit? Mengapa Allah menggunakan perkataan "anzalnaal-hadiid" yang membawa maksud "turunnya besi"?


Abdullah Yusuf Ali, dalam tafsirnya The Holy Qur'an, ada menterjemahkannya "And We sent down iron," lalu dalam catatan nota kaki ada diterangkan; "Sent down, in the sense of revealed to man the use of certain things." Jadi, kata Yusuf Ali, yang diturunkan itu bukan logam besinya tetapi kegunaannya.


Sintesis Besi

Maklumat dari Allah S.W.T mengenai besi yang diwahyukan pada abad ke-7, baru dapat difahami oleh para ilmuwan pada abad ke-20! Baru sekarang para ilmuwan mengetahui bahawa besi di bumi sememangnya turun dari langit, sebab besi dicipta daripada bintang-bintang di angkasa melalui proses nukleosintesis. Ketika bintang-bintang itu mati (padam) disebabkan kehabisan bahan bakar hidrogen, besi itu (bersama unsur-unsur yang lain) dibebas/disebar ke ruang angkasa.

Sistem suria kita, termasuk planet Bumi, terbentuk daripada isipadu gas dan zarah-zarah debu sisa-sisa bintang yang menjadi lekat akibat putaran. Unsur terbanyak yang menyusun bumi ini adalah besi yang turun dari langit! Itulah sebabnya besi disebutkan secara khusus oleh Allah S.W.T. Bumi kita yang berjisim, 6 x 1021 tan ini terbangun daripada 35% besi (Fe), 26% oksigen (O), 13% silikon (Si), 10% magnesium (Mg), 4% nikel (Ni), dan sisa-sisanya adalah unsur-unsur yang lain.

Bumi kita mempunyai jejari (radius) berjumlah 6378 km. Lapisan paling atas adalah "kerak bumi" (earth's crust) yang tipis, hanya setebal 25-90 km dari kawasan daratan dan 6-11 km dari kawasan lautan. Di lapisan kerak bumi, besi (Fe) cuma unsur peringkat empat terbanyak setelah oksigen (O), silikon (Si) dan aluminium (Al). Di bawah kerak bumi adalah lapisan kedua bumi iaitu "mantel bumi" (earth's mantle), kemudian lapisan paling bawah adalah lapisan "teras bumi" (earth's core) yang berjejari setebal 3470 km. Teras bumi  mengandungi 90% daripadanya adalah besi (Fe), sisanya nikel (Ni) dan belerang sulfur (S).


Fungsi Besi

Apa fungsi besi di teras bumi? Hal ini dijelaskan oleh Allah S.W.T sendiri dalam kalimah selanjutnya dalam surah Al-Hadid ayat 25: 

"fiihi ba'sun syadiid." فِيهِ بَأْسٌ شَدِيدٌ

Maksudnya: "Padanya ada kekuatan yang hebat." Besi di teras bumi itu mempunyai kekuatan yang hebat berupa medan magnet dan tarikan graviti bumi. Bukankah kita sering kali menyaksikan betapa "setia"nya bongkah/jarum magnet menunjukkan arah ke utara dan ke selatan, tidak boleh diputar-belokkan.


Akibat tarikan graviti bumi yang besar dan sangat terbaik (optimum), iaitu  sebanyak 9.78 m/s2 di permukaan bumi, kita mampu berjalan dengan santai. Inilah bukti sifat Ar-Rahman (Maha Pengasih) dari Sang Pencipta (Allah S.W.T) kepada seluruh makhluk-Nya di atas permukaan bumi. Bayangkan jika seandainya kadar besi di teras bumi terlampau sedikit, tentu sekali manusia terapung-apung di awangan udara dan begitu sukar hendak menjejakkan kaki di atas tanah permukaan bumi! 


Manfaat Besi

Kalimat selanjutnya pada surah Al-Hadid ayat 25: 

"wa manaafi'u li n-naas" وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ

Maksudnya: "Serta pelbagai manfaat untuk manusia." Manfaat yang perlu disebutkan paling dahulu (sebab manusia sering kali lupa) adalah bahawa besi merupakan salah satu unsur yang terdapat dalam darah kita yakni hemoglobin (zat besi), protein dalam darah yang berfungsi untuk mengikat oksigen yang kita hirup dari udara (atmosfera). Ketika oksigen masuk ke dalam peparu kita, oksigen itu segera ditangkap oleh besi dalam hemoglobin, kemudian diedarkan oleh darah ke seluruh sel-sel dalam tubuh badan kita untuk proses metabolisme. Jelas sekali bahawa melalui besi, Allah S.W.T memelihara keterusan hayat hidup kita!

Jika dalam tubuh badan kita mempunyai ion besi atau Fe(2+) yang sedikit, sudah tentu kandungan hemoglobin dalam darah kita pun turut sedikit, dan hal ini sangat mengganggu kelancaran sistem pengangkutan oksigen dalam tubuh badan. Inilah yang disebut "iron-deficiency anemia" atau penyakit kurang darah.

Manfaat besi dalam kehidupan kita telah banyak kita ketahui. Besi merupakan logam yang paling penting dalam sejarah umat manusia sejak peradaban Mesopotamia purba kala, sehinggalah sekarang. Tidak ada logam lain yang jumlah kepentingannya melebihi besi. Dewasa ini, besi merupakan tulang belakang bagi peradaban moden. Ini termasuklah dalam pembinaan bangunan pencakar langit, jambatan keluli, peralatan kenderaan, senjata, alat pertanian, paip saluran, dan segala jenis bentuk mesin. Tidak hairanlah jika industri-industri yang menggunakan bahan besi atau mengeluarkan produk berasaskan besi untuk menghasilkan produk di seluruh dunia mencapai lebih daripada satu juta tan setiap tahun!


Besi Terletak Pada Unsur di Tengah-tengah

Ada lagi penghuraian yang menarik mengenai Surah Al-Hadid. Ketika Surah-surah dalam Al-Qur'an disusun oleh Nabi Muhammad S.A.W, Malaikat Jibril menyuruh Baginda supaya menempatkan Surah Al-Hadid sebagai Surah di tengah-tengah, iaitu Surah ke-57 dari 114 Surah!


Pada abad ke-20, para ilmuwan mengetahui bahawa besi terbukti memang berunsur tengah-tengah. Sebagaimana yang telah kita ketahui, bahagian tengah (teras) bumi kita tersusun oleh besi. Ketika ilmuwan bukan Islam yang dipelopori Dmitri Ivanovich Mendeleyef, telah menyusun unsur-unsur kimia dalam sistem jadual berkala (periodic table), dengan meletakkan besi pada baris tengah (kala keempat dari tujuh kala). Dalam barisan unsur-unsur peralihan (transition elements) dalam kala keempat, terbukti bahawa besi terletak pada tengah-tengahnya.


Kemudian, jika kita mengira perkataan "Allah" dari awal Surah Al-Hadid hingga ayat ke-25 (yang mengandung kata hadid), terbukti bahawa perkataan "Allah" terkandung sebanyak 26 kali, sesuai dengan jumlah nombor atom besi (jumlah proton dalam inti atom besi). Subhanallah!


Semua data dan fakta ini merupakan salah satu bukti bahawa ayat-ayat Kauniyah (ayat-ayat atau tanda-tanda yang wujud di sekeliling yang diciptakan oleh Allah S.W.T) terbukti dan terkandung dalam ayat-ayat Al-Qur'an. Baik ayat Kauniyah mahupun ayat Al-Qur'an, kedua-duanya merupakan perkiraan/aturan dari Sang Pencipta Alam Semesta. Sungguh Maha Benar lagi Maha Bijaksana! Firman Allah S.W.T: 

سَنُرِيهِمْ آيَاتِنَا فِي الْآفَاقِ وَفِي أَنفُسِهِمْ حَتَّى يَتَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُ الْحَقُّ أَوَلَمْ يَكْفِ بِرَبِّكَ أَنَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ شَهِيدٌ

Maksudnya: "Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu?" (Surah Fushshilat ayat 53).

Wallahua'lam.

Sumber asal daripada penulis salah seorang pembina Masjid Salman ITB.

Memuat...
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

0 Orang Komen Membina:

Catat Ulasan

 

Jumlah Pelawat

Copyright © 2013. Nukeufo89's Blog - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger