Searching...

Kisah Nabi Idris Yang Jarang Kita Ketahui

Tidak banyak keterangan yang didapati tentang kisah Nabi Idris di dalam Al-Quran mahupun dalam kitab-kitab Tafsir dan kitab-kitab sejarah nabi-nabi. Di dalam Al-Quran hanya terdapat dua ayat tentang Nabi Idris iaitu dalam surah Maryam ayat 56 dan 57:

"Dan ceritakanlah, hai Muhammad kepada mereka kisah Idris yang terdapat (tersebut) di dalam Al-Quran. Sesungguhnya ia adalah seorang yang sangat membenarkan dan seorang nabi. 57 - Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi." { Maryam : 56 - 57 }

Gambar di atas adalah sekadar hiasan dan cuma gambaran semata-mata

Nabi Idris adalah keturunan keenam dari Nabi Adam putera dari Yarid bin Mihla'iel bin Qinan bin Anusy bin Syith bin Adam A.S. dan adalah keturunan pertama yang dikurniai kenabian menjadi Nabi setelah Adam dan Syith.

Nabi Idris menurut sementara riwayat bermukim di Mesir di mana ia berdakwah untuk agama Allah mengajarkan tauhid dan beribadah menyembah Allah serta memberi beberapa pedoman hidup bagi pengikut-pengikutnya agar menyelamat diri dari seksaan di akhirat dan kehancuran serta kebinasaan di dunia. Ia hidup sampai usia 82 tahun.


Sahifah:

Idris dikurnia oleh  Allah SWT beberapa kepandaian. Ia menguasai ilmu hisab, ilmu kaji bintang, menunggang kuda, dan menjahit pakaian. Selain itu, Idris juga sangat tekun. Ia belajar membaca dan menulis tanpa mengenal waktu dan tempat. Sejak kecil, Idris telah pandai membaca Sahifah (lembaran tertulis) yang diajarkan oleh Nabi Syits. Idris menerima wahyu dari Allah Swt. melalui malaikat Jibril sebanyak 30 Sahifah.
(Q.19:56).

Isinya adalah ajaran agama yang harus disampaikan Idris kepada umatnya.

Izrail:

Malaikat Izrail sangat mengagumi kepandaian Idris. Ia ingin mengenal Idris dengan lebih dekat. Dengan menyamar sebagai manusia, ia bertemu ke rumah Idris. Setelah berkenalan, Idris mempersilakan tetamunya menginap di rumahnya. Mereka lalu berdua beribadah dengan tekun. Idris meminta tetamunya untuk menikmati semua yang ada di rumahnya, tapi Izrail menolak dan hanya ingin beribadah. Idris merasa hairan dan bertanya siapa sebenarnya tetamunya itu. Tetamu itu menjawab bahawa ia adalah Izrail, malaikat pencabut nyawa.

Hijrah Ke Mesir:

Kerana sebahagian umatnya kufur, Idris mengajak pengikutnya yang beriman meninggalkan negeri mereka. Awalnya mereka keberatan kerana khuwatir negeri baru yang akan mereka duduki tersebut tidak sesubur negeri mereka. Namun Idris dapat meyakinkan umatnya yang beriman tersebut sehingga mereka mengikuti Idris hijrah ke Mesir.

Digoda Syaitan:

Suatu ketika Idris digoda syaitan. Ketika ia sedang menjahit baju, tiba- tiba datang iblis dengan menyamar sebagai seorang lelaki. Iblis itu membawa sebutir telur. Ia mencabar Idris supaya meminta Tuhannya memasukkan dunia ke dalam telur. Permintaan tersebut dimaksudkan untuk membuat Idris panik. Namun, dengan tegas Idris menjawab bahawa Tuhannya tidak hanya mampu memasukkan dunia ke dalam telur, tetapi juga ke lubang jarum. Lalu dengan jarumnya, Idris menusuk mata iblis sehingga iblis langsung pergi menghilang.
Melihat Syurga dan Neraka:

Untuk mempertebalkan imannya, Nabi Idris meminta kepada Allah SWT agar diizinkan untuk melihat syurga dan neraka. Allah SWT memenuhi permohonan Idris tersebut. Bersama Izrail, Idris mengunjungi neraka dan melihat api neraka yang sungguh marak serta pelbagai seksaan di dalamnya. Kemudian Izrail membawanya ke syurga. Di sana Idris bertemu dengan Malaikat Ridzwan dan melihat nikmat yang diberikan Allah SWT untuk para penghuni syurga.

Nabi Idris a.s Bersama Malaikat Izrail

Suatu ketika Nabi Idris a.s telah dikunjungi oleh Malaikat Izrail dan bertanya Nabi Idris a.s katanya: "Hai malaikat Izrail, engkau datang ini untuk mencabut nyawa atau sekadar berziarah?" Kata Malaikat Izrail, "aku datang untuk berziarah dengan izin Allah." Kata Nabi Idris kepada Malaikat Izrail: "Hai Malaikat Izrail, saya ada keperluan dan kepentingan kepadamu" Kata Malaikat Izrail, "Kepentingan apa itu?" Jawab Nabi Idris "Kepentingan denganmu iaitu supaya engkau mencabut nyawaku dan kemudian Allah menghidupkan kembali sehingga aku dapat beribadah kepada Allah setelah aku merasakan sakaratulmaut." Kata Malaikat Izrail sesungguhnya aku tidak akan mencabut nyawa seseorang melainkan dengan mendapat izin Allah. Maka Allah memberi wahyu kepada Malaikat Izrail agar dia mencabut nyawa Nabi Idris, maka seketika itu Malaikat Izrail mencabut nyawa Nabi Idris a.s. Maka Malaikat Izrail menangis atas kematian Nabi Idris sambil memohon kepada Allah agar Allah menghidupkan kembali Nabi Idris a.s.

Kemudian Allah mengkabulkan permohonan Malaikat Izrail, maka Nabi Idris hidup kembali. Malaikat Izrail bertanya kepada Nabi Idris a.s. "Hai saudaraku, bagaimana rasanya sakaratulmaut itu?" Kata Nabi Idris a.s, "Sesungguhnya rasa sakaratulmaut itu saya umpamakan binatang yang hidup itu dilapah kulitnya (dibuang kulitnya semasa hidup-hidup) dan begitulah rasanya sakaratulmaut bahkan lebih seribu kali sakit."


Kata Malaikat Maut: "Secara halus dan berhati-hati aku mencabut nyawa yang seperti itu selama-lamanya." Kemudian Nabi Idris a.s berkata lagi pada Malaikat Maut: "Hai Malaikat Maut, saya ada keinginan lagi dengan engkau iaitu saya ingin melihat Neraka Jahanam sehingga saya boleh beribadah kepada Allah dengan bersungguh-sungguh setelah melihat belenggu, rantai-rantai dan kala jengking yang menyengat orang-orang yang ada di Neraka Jahanam." Kata Malaikat Maut, "Bagaimana saya boleh pergi ke Neraka Jahanam tanpa izin Allah".


Maka Allah memberi wahyu kepada Malaikat Maut dengan firman: "Pergilah engkau ke Neraka Jahanam bersama-sama Nabi Idris a.s." Malaikat Maut pun pergi ke Neraka Jahanam bersama-sama Nabi Idris kemudian Nabi Idris melihat segala macam seksaan yang diciptakan Allah untuk musuh-musuh-Nya yang berupa belenggu, rantai-rantai daripada neraka dan kala jengking serta ular dengan api-api yang marak menyala dan kayu zakum dan air yang sangat panas untuk diminum oleh ahli neraka tersebut. Setelah kembali Nabi Idris berkata lagi kepada Malaikat Maut. "Hai Malaikat Maut, saya ada keinginan lagi dengamu iaitu saya ingin melihat syurga sehingga saya boleh tambah meningkatkan amal ibadah" Maka Malaikat Maut berkata, "Bagaimana boleh saya bersamamu ke dalam syurga tanpa izin Allah." Maka Allah memberi keizinan kepada Malaikat Maut untuk pergi berdua dan berhenti dekat pintu syurga.


Maka Nabi Idris melihat di dalamnya nampak bermacam-macam nikmat dan istana besar lagi indah dan beberapa anugerah yang berharga, juga tumbuh-tumbuhan serta buah-buahan yang beraneka warna dan rasanya berbeza-beza. Nabi Idris berkata "Hai saudaraku, saya telah merasakan sakitnya sakaratulmaut, saya telah melihat Neraka Jahanam yang di dalamnya bermacam-macam rupa seksaan dan azab neraka maka mohonlah engkau kepada Allah agar Allah mengizinkan saya untuk masuk syurga dan minum airnya agar hilang rasa sakitnya sakaratulmaut dan juga terhindar daripada seksaan Neraka Jahanam.


Maka Malaikat Izrail minta keizinan kepada Allah lalu Allah mengizinkannya, kemudian masuklah mereka berdua ke dalam syurga lalu keluar. Kemudian Nabi Idris masuk lagi ke dalam syurga dan meletakkan seliparnya di bawah pokok kayu di dalam syurga. Maka Nabi Idris berkata kepada Malaikat Izrail "Hai Malaikat Maut, selipar saya tertinggal didalam syurga di bawah pokok kayu, maka kembalikanlah saya ke dalam syurga." Maka Nabi Idris masuk ke syurga dan tidak mahu keluar lagi dari syurga. Maka berteriaklah Malaikat Izrail memanggil Nabi Idris agar keluar dari syurga. "Hai Idris, keluarlah engkau dari syurga." Maka Nabi Idris pun tidak mahu keluar, maka Allah SWT telah berfirman; "Tiap-tiap orang mesti merasakan sakaratul maut". Berkata Nabi Idris, "sedang saya sudah merasakan sakaratulmaut". Dan Allah SWT berfirman lagi maksudnya: "Tidak ada di antara kamu sekalian kecuali mereka itu memasuki (neraka/syurga)".
Berkata lagi Nabi Idris, "sedang aku pernah memasuki neraka". Maka Allah pun berfirman lagi maksudnya: "Dan tidaklah mereka itu dikeluarkannya" (keluar daripada syurga).
 
Nabi Idris berkata: "Siapakah yang mengeluarkan saya dari syurga sedangkan Allah telah memberikan wahyu kepada malaikat Maut". Maka Allah berfirman: "Tinggalkanlah dia (Nabi Idris) sesungguhnya Aku telah memutuskan dia sejak azali lagi dahulu bahawa sesungguhnya dia (Nabi Idris) tergolong dari golongan ahli dan penghuni syurga."

Dan Allah telah berfirman kepada rasul-rasul-Nya tentang kisah Nabi Idris dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan ingatlah olehmu cerita-cerita dalam kitab Nabi Idris a.s. dan seterusnya."

Diantara beberapa nasihat dan kata-kata mutiaranya ialah:

1. Kesabaran yang disertai iman kepada Allah membawa kemenangan.

2. Orang yang bahagia ialah orang yang berwaspada dan mengharapkan syafaat dari Tuhannya dengan amal-amal solehnya.

3. Bila kamu memohon sesuatu kepada Allah dan berdoa maka ikhlaskanlah niatmu demikian pula puasamu dan solatmu itu.

4. Janganlah bersumpah dalam keadaan kamu berdusta dan janganlah menutup sumpah dari orang yang berdusta agar kamu tidak menyekutui mereka dalam dosa.

5. Taatlah kepada raja-rajamu dan tunduklah kepada pembesar-pembesarmu serta penuhilah selalu mulut-mulutmu dengan ucapan syukur dan puji kepada Allah.

6. Janganlah iri hati kepada orang-orang yang baik nasibnya, kerana mereka tidak akan banyak dan lama menikmati kebaikan nasibnya.

7. Barang siapa melampaui kesederhanaannya maka tidak sesuatu pun akan memuaskannya.
8. Tanpa membagi-bagikan nikmat yang diperolehnya, seorang itu tidak dapat bersyukur kepada Allah atas nikmat-nikmat yang diperolehinya itu.

Dalam hubungan dengan firman Allah, ada menerangkan tentang Nabi Idris diangkat kemartabat yang lebih tinggi. Ibnu Abi Hatim dalam tafsirnya meriwayatkan bahawa Nabi Idris wafat tatkala berada di langit keempat dibawa oleh Malaikat. 

Wallahua'alam...

Kisah Hidup Nabi

Memuat...
Anda ingin mengetahui isu-isu semasa mengenai perjuangan Islam dan mendapatkan tips-tips terbaru? Cuma klik di sini atau masukkan email anda di bawah untuk mendapatkan artikel terbaru dari blog ini terus ke email anda:

2 Orang Komen Membina:

  1. Tak pernah dengar kisah mengenai Nabi Idris ni walaupun tahu nama-nama Nabi dan Rasul yang wajib diketahui iaitu 25 orang mungkin kurang kisahnya atau tak ada yang tahu

    BalasPadam
  2. hello nice blog nice blog thanks

    BalasPadam

 

Jumlah Pelawat

Copyright © 2013. Nukeufo89's Blog - All Rights Reserved
Proudly powered by Blogger